Artikel

Perlis United Terima Sumbangan RM50,000 Daripada Ahli Parlimen Kangar

Kelab yang beraksi dalam kancah divisyen ketiga bola sepak negara, Perlis United FC menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kangar, YB Noor Amin Ahmad sebelum bermulanya aksi pertama Liga M3, Sabtu nanti.

Menerusi satu perkongsian di laman sosial milik ahli politik tersebut, semalam, pihaknya memberi sumbangan sebanyak RM50,000 sebagai sokongan kepada pasukan yang berpangkalan di utara semenanjung tanah air itu.

“Sebagai usaha menyokong pasukan bola sepak Perlis yang akan bertanding dalam Liga M3, hari ini saya menyerahkan sumbangan kepada pihak Kelab Bola Sepak Perlis United.” katanya.

Beliau mengharapkan sumbangan tersebut dapat melonjakkan prestasi mereka dalam saingan Liga M3 musim ini disamping mengajak orang ramai memberikan sokongan kepada Perlis United.

Untuk makluman semua, Perlis United yang diletakkan dalam Kumpulan B akan memulakan saingan Liga M3 dengan bertemu pasukan yang berpangkalan di pantai timur, Real Chukai FC.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan ini dijadualkan berlangsung pada pukul 4.45 petang, 12 Februari di Stadium Mak Chili, Kemaman.

Featured Image: Jabatan Penerangan Negeri Perlis

komen