Pemain tengah Terengganu FC, Azalinullah Alias tidak dapat membayangkan sekiranya mendapat kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (ACL) buat kali keempat dalam hidupnya.
Hal ini kerana tiga kecederaan ACL yang telah menimpa pemain berusia 26 tahun ini amat perit untuk dilalui dan ditambah pula merugikan kariernya kerana perlu berehat panjang.
Bagaimanapun, ketika ini, pemain yang dikenali sebagai Azali ini sudah pulih daripada kecederaan tersebut dan mula memberikan tumpuan untuk merebut kembali tempat di dalam kesebelasan utam skuad bimbingan Nafuzi Zain, musim ini.
“Saya sebenarnya dah mula masuk padang berlatih sejak Piala Malaysia pada musim lepas, cuma tidak diberi peluang bermain sahaja.
“Jadi, daripada situ saya cuba untuk mendapatkan balik kecergasan yang terbaik sebab dah satu musim tidak bermain.
“Cuma selain saya ingin rebut tempat, yang menjadi keutamaan adalah saya tidak mahu cedera teruk seperti itu lagi.
“Cukuplah tiga kali saya berdepan ACL, kalau nak kena kali keempat lagi, tak tahu la nak buat macam mana dah, memang rugi apabila satu musim tidak dapat bermain”, katanya.
Sebagai rekod, Azali ditimpa kecederaan ACL yang pertama pada tahun 2015 ketika bersama Harimau Muda C. Seterusnya, kecederaan ini kembali berulang pada awal musim 2019.
Untuk kali ketiga, kecederaan ini menerpanya ketika beraksi menentang Melaka United dalam saingan Liga Super pada bulan Mac tahun lalu.
Kecederaan tersebut menyebabkan pemain tengah berbakat ini terpaksa melupakan saingan 2021 bagi memberi tumpuan untuk dirinya pulih seperti sedia kala.
Featured Image: Terengganu FC