Artikel

AKRAM Sasar Lahirkan Lebih Ramai Pemain Ragbi

Penubuhan Pusat Kecemerlangan Sukan Ragbi Jabatan Pendidikan Negeri Melaka atau dikenali sebagai Akademi Ragbi Melaka (AKRAM) diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pemain ragbi khususnya di negeri Melaka.

Hasrat tersebut dinyatakan oleh Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka, YB Datuk Rais bin Datuk Wira Yasin merangkap Timbalan Presiden Melaka Rugby selepas merasmikan penubuhan akademi tersebut di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, semalam.

“Akademi Ragbi yang buat julung kalinya ditubuhkan di Melaka adalah bertujuan melahirkan lebih ramai pemain ragbi khususnya dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.” katanya seperti dikongsikan di laman sosialnya.

Dimaklumkan SMK Telok Mas menjadi venue utama untuk akademi ini.

“Berkemungkinan tidak semua mampu menyertai skuad kebangsaan mahupun terpilih bermain di peringkat antarabangsa. Akan tetapi sekurang-kurangnya usaha murni ini mampu mencungkil lebih banyak bakat baharu, secara tidak langsung akan melahirkan lebih ramai pelapis skuad ragbi negara di masa hadapan.” tambahnya lagi.

Featured Image: Facebook Rais Yasin

komen