Pasukan Malaysia Ganti Jepun Di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita
February 11, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad hoki wanita remaja kebangsaan bakal beraksi di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 yang akan berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan bermula 1-12 April kelak.

Pasukan remaja wanita mendapat slot untuk menyertai kejohanan terbabit bagi menggantikan pasukan remaja wanita Jepun yang menarik diri.

Menurut satu makluman, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah dihubungi oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada petang semalam untuk ditawarkan slot tersebut. 

Difahamkan, Malaysia dipilih untuk mengisi slot tersebut berdasarkan merit kerana menduduki tempat kelima asia dan Presiden MHC, Dato’ Sri Subahan Kamal berbesar hati dengan tawaran oleh FIH itu dan mengambil peluang itu untuk menghantar skuad negara.

Untuk pengetahuan semua, ini bakal menjadi debut pasukan wanita remaja negara beraksi di pentas Kejohanan Hoki Piala Dunia Wanita Remaja. 

Untuk edisi yang kesembilan ini, ia akan disertai Belanda, England, Argentina, Jerman, India, Korea, Ireland, Kanada, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Rusia, Wales, Uruguay, Ukraine dan Zimbabwe.

Komen