Orang ramai serta peminat badminton boleh menyaksikan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Setia City Convention Centre dari 15 hingga 20 Februari ini secara percuma.
Berita gembira ini dimaklumkan sendiri oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurut makluman tersebut, tiket masuk untuk menyaksikan kejohanan tersebut dikeluarkan secara percuma buat orang ramai menerusi pendaftaran di laman sesawang, https://selangorbatc2022.com.
Bagaimanapun, jumlah tiket dan tempat duduk untuk penonton adalah terhad disebabkan pematuhan kepada prosesur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 di venue berkenaan.
Sebagai tambahan, bagi yang berjaya mendapatkan tiket tersebut, tiket elektronik akan dihantar menerusi emel masing-masing.
Pada hari perlawanan, tiket perlu dibawa bersama-sama dengan Kad Pengenalan (IC) atau nombor pasport sebagai bukti untuk memasuki venue kejohanan.
Hanya pemegang tiket yang telah lengkap vaksinasi dua dos sahaja dibenarkan masuk dan menyaksikan kejohanan. Sementara itu, kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun adalah dilarang masuk.
Featured Image: Badminton Asia