Bukan Aloq Setaq Tetapi Sungai Petani – Lokasi ‘Training Centre’ & Stadium Baharu Kedah
February 13, 2022 Hafizuddin Omar

Naib juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman FC (Kedah) sedang dalam perancangan untuk membina pusat latihan serta sebuah stadium baharu miliknya yang tersendiri.

Bagaimanapun, persoalan mengenai lokasi pembinaan bagi kedua-dua fasiliti baharu milik skuad Sang Kenari itu menjadi tanda tanya terutamanya kalangan penyokong dan peminat tegar pasukan tersebut.

Terbaharu, menerusi satu laporan oleh Bernama, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkongsikan bahawa kedua-dua fasiliti tersebut akan dibina Sungai Petani yang terletak dalam daerah Kuala Muda.

Muhammad Sanusi Md Noor

“Pasukan kita menerima sentuhan-sentuhan baharu, kerjasama daripada Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang kita lantik telah membina jaringan yang baik.”

“Kita sedang sediakan satu kawasan di Sungai Petani untuk bina satu stadium baharu untuk pusat latihan dan kemudahan pasukan.”

“Saya yakin usaha yang sedang kita lakukan ini suatu hari nanti, kita akan menyamai JDT…walaupun tidak dapat menewaskan lagi, seri (sama kedudukan) pun okey,” katanya seperti dipetik daripada portal berkenaan.

Baca: Patron Mahu ‘Training Centre’ Kedah Berperanan Sebagai Tarikan Pelancong Dalam & Luar Negara

Berdasarkan kenyataan media daripada penaung pasukan Kedah sebelum ini, pusat latihan milik Sang Kenari ini akan dibuat mengikut piawaian Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kos sekitar RM15 juta hingga RM16 juta.

Baca: Projek Stadium Baharu Kedah Dianggarkan Bernilai RM70 Juta

Sementara itu, merujuk kepada dokumen prospektus yang dipaparkan di laman sesawang pasukan Kedah, bajet untuk membina stadium baharu itu pula sekitar RM70 juta.

Komen