Artikel

Hospital Sahkan Hidung Adib Raop Tak Patah Tetapi Dinasihatkan Pakai Topeng Pelindung

Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak hopital, ‘wing-back’ Penang FC, Muhammad Adib Abdul Raop disahkan tidak mengalami kecederaan patah hidung.

Perkembangan ini dimaklumkan sendiri oleh pihak kelab menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya, semalam.

Terdahulu, pemain berusia 22 tahun ini dilaporkan cedera ekoran ditumbuk di bahagian muka ketika mahu meleraikan pergaduhan ketika menentang Terengganu II dalam saingan pramusim, Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2022, minggu lalu.

“Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa hasil pemeriksaan kesihatan yang telah pun dibuat di Island Hospital Pulau Pinang, menunjukkan bahawa Adib Raop tidak mengalami kecederaan patah tulang hidung.” 

“Apa yang diperoleh melalui pemeriksaan tersebut adalah, Adib Raop hanya didapati mengalami kerosakan pada bahagian tulang rawan dan luka di bahagian dalam hidung.”

“Luka berkenaan yang menjadi punca pendarahan tetapi keadaan tersebut sebenarnya masih dalam keadaan yang terkawal.”

“Buat masa ini, Adib Raop telah pun dinasihatkan oleh doktor untuk memakai topeng muka semasa menjalani latihan.” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Dimaklumkan, Adib masih memerlukan pemantauan rapi dengan bantuan bantuan ubat bagi memastikan tiada lagi pendarahan semasa dalam proses penyembuhan luka tersebut.

komen