Pasukan Malaysia samada lelaki mahupun perempuan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menurunkan ‘scratch pair’ atau kombinasi bidan terjun dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asian (BATC), pada kali ini.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar tempatan berbahasa inggeris, New Straits Times.
“Kami tidak mahu pemain-pemain hilang tumpuan atau mengambil mudah (kejohanan ini). Oleh sebab itu, kami tidak akan melakukan ‘scratching’ pemain-pemain beregu,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.
“Kami akan kekal dengan kombinasi sediakala.” tambahnya lagi.
Untuk makluman semua, pasukan wanita negara akan membuka saingan BATC ini dengan menentang India pada hari esok dan diikuti bertemu Jepun pada hari seterusnya.
Sementara itu, pasukan lelaki negara pula akan membuka kempen dengan bertemu skuad jiran tetangga, Singapura pada lusa dan diikuti dengan Kazakhstan serta Jepun pada hari-hari berikutnya.
Antara pasangan beregu yang disenaraikan oleh BAM untuk mengharungi kejohanan ini ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, Teoh Mei Xing-Anna Ching dan Low Yeen Yuan-Valeree Siow.
Sebagai rekod, pada kejohanan badminton berpasukan Piala Thomas dan Piala Uber yang lalu, skuad Malaysia pernah menurunkan ‘scratch pair’ Soh Wooi Yik bersama Nur Izzuddin serta Lee Meng Yean bersama Thinaah Muralitharan.