Artikel

MU Atur 3 Perlawanan Persahabatan Menentang Terengganu, Selangor & JDT

Skuad Melaka United (MU) bimbingan jurulatih baharu, Risto Vidakovic akan beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan sebelum memulakan saingan Liga Super, bulan hadapan.

Menurut laporan akhbar tempatan, Harian Metro, pengurus pasukan MU, Muhammad Akram Abdullah memaklumkan skuad Hang Tuah itu akan bertemu Terengganu, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perlawanan ini diatur supaya dapat memantapkan persembahan setiap posisi disamping menyesuaikan pemain-pemain dengan corak permainan seperti yang dimahukan oleh jurulatih Bosnia & Herzegovina itu.

Sementara itu, turut dimaklumkan, empat daripada lima pemain importnya telah menyertai latihan bersama pasukan. Empat permain tersebut ialah Sony Norde, Adriano, Emmanuel Oti dan Justin Baas.

Bagaimanapun, kelibat seorang lagi pemain import merangkap penjaring terbanyak saingan Liga Super 2021 dengan rekod 26 gol masih lagi belum kelihatan bersama skuad MU.

Untuk makluman semua, MU akan membuka saingan Liga Super musim ini dengan menentang Petaling Jaya City FC (PJ City) pada 5 Mac hadapan.

Featured Image: Melaka United FC

komen