AFF B-23: Coach Brad Sasar Juara Kumpulan & Mara Ke Separuh Akhir
February 14, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih, Brad Maloney menyasarkan skuad Harimau Muda dapat menjuarai Kumpulan B dalam Kejuaraan AFF B-23 sekaligus menempah tiket ke pusingan separuh akhir.

Peluang skuad negara untuk mencapai sasaran tersebut nampak lebih terbuka lebih-lebih lagi setelah skuad Indonesia selaku juara bertahan menarik diri daripada kejohanan ini ekoran jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, menurut laporan Harian Metro, Coach Brad menyatakan penarikan diri skuad Garuda Muda itu tidak memberi sebarang kelebihan buat pasukan walaupun perlu mengharungi dua perlawanan sahaja kelak.

Senarai 28 pemain yang akan mengharungi Kejuaraan AFF B-23

“Kita bermain dalam dua perlawanan awal dan tidak seperti pasukan lain yang ada bermain sebanyak tiga perlawanan. Namun saya tidak lihat ini (main dua perlawanan) memberi kelebihan kepada kita dalam peringkat kumpulan.

“Kalau kita bermain kurang perlawanan berbanding pasukan lain, mungkin ini akan memberi kesukaran kepada kita daripada segi kecergasan dan sebagainya.

“Tetapi sasaran kami tetap jelas iaitu perlu mengungguli kumpulan untuk layak ke peringkat seterusnya. Tiada apa yang berubah walaupun hanya sekadar beraksi dalam dua perlawanan,” kata jurulatih kelahiran Australia itu seperti dipetik daripada portal akhbar berkenaan.

Pada masa yang sama, Coach Brad turut menyatakan tidak mahu skuad Harimau Muda dilabel sebagai pasukan pilihan atas alasan membawa ramai muka baharu termasuk yang pertama kali bakal beraksi di pentas antarabangsa.

Untuk makluman semua, skuad Harimau Muda akan mengharungi perlawanan pertama berdepan Myanmar pada hari esok. Perlawanan kedua menentang Laos pula dijadualkan pada Jumaat.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen