Kelantan United Lengkapkan Pemain Import Dengan Bekas ‘Midfielder’ Serie A
February 15, 2022 Hafizuddin Omar

Barisan pemain import pasukan Liga Premier, Kelantan United FC untuk musim ini lengkap setelah masuknya bekas pemain tengah yang pernah beraksi dalam kancah Serie A bersama ACF Fiorentina.

Pemain yang dimaksudkan ialah Amidu Salifu yang berusia 29 tahun. Dia diperkenalkan sebagai pemain baharu skuad The Green Deer menerusi satu makluman di pelbagai media sosialnya, pada hari ini.

Amidu merupakan pemain kelahiran Accra, Ghana. Dia memulakan karier bola sepaknya di bumi Itali dengan menyertai pasukan Vicenza pada tahun 2010. Tidak lama kemudian, Amidu berhijrah ke Fiorentina yang beraksi bersama pasukan tersebut sehingga tahun 2020.

Amidu Salifu

Bagaimanapun, Amidu hanya meraih beberapa penampilan sahaja bersama Fiorentina dan kebanyakan kariernya dipinjamkan ke pasukan-pasukan liga bawahan di Itali seperti Catania, Modena, Perugia, Brescia dan beberapa pasukan yang lain lagi.

Selain Itali, Amidu turut mempunyai pengalaman beraksi di Kuwait. Manakala pasukan terakhir diwakilinya sebelum berhijrah ke Kelantan United adalah Petrolul Ploiesti dalam saingan Liga Romania.

Berdasarkan rekod dalam portal informasi bola sepak antarabangsa, Transfermarkt, Amidu telah meraih 205 penampilan serta 3 jaringan gol secara keseluruhan setakat ini. Sebagai tambahan, Amidu pernah meraih pengalaman beraksi bersama skuad pelapis negaranya, Ghana Bawah 20 Tahun (B-20).

Penyertaan Amidu telah melengkapkan empat kuota pemain import skuad kendalian Syamsul Saad. Sebelum ini, Kelantan United telah mendapatkan khidmat Jacob Njoku serta mengekalkan Masashi Motoyama dan Shukei Fukai.

Komen