Pasukan berpangkalan di pantai timur, Sri Pahang FC mengumumkan menarik diri daripada saingan pramusim, Piala Menteri Wilayah Persekutuan (WP) 2022 yang akan menemukannya dengan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City), Khamis ini.
Menurut makluman kelab terbabit, keputusan ini dibuat berikutan beberapa orang pemain skuad yang dibimbing oleh Christophe Gamel itu didapati positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin wajib.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman lanjut daripada pihak kelab mengenai siapakah yang didapati positif Covid-19 tersebut.
Sementara itu, KL City yang juga merupakan penganjur bagi kejohanan ini mengambil maklum akan penarikan diri skuad Tok Gajah ini.
Namun, KL City memaklumkan saingan ini tetap akan diteruskan dengan pasukan lain akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sri Pahang.
Sebagai rekod, saingan Piala Menteri WP edisi sulung, pada tahun lalu menyaksikan KL City berjaya muncul juara dengan menumpaskan seteru mereka, Selangor FC melalui penentuan sepakan penalti.
Featured Image: Terengganu FC