Artikel

Platform Jual Beli Kriptowang Penaja Baharu Liga Super & Piala Malaysia

Penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan kerjasama serta menerima satu tajaan baharu dengan sebuah syarikat platform jual beli kriptowang, Luno.

Menerusi satu majlis yang diadakan di 1 Powerhouse, Petaling Jaya pada hari ini, Luno diumumkan sebagai Rakan Pelaburan Kripto serta Penaja Bersama Rasmi (co-sponsor) bagi saingan Liga Super serta Piala Malaysia.

Dimaklumkan, kerjasama dan penajaan oleh Luno bersama MFL ini bernilai melebihi RM1 juta dengan kontrak 1+1 tahun. Ianya juga menandakan kemasukan pertama Luno ke dalam industri sukan tempatan.

CEO MFL, Stuart Ramalingam (kiri) dan Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang (kanan).

Hasil daripada kerjasama ini, Luno mendapat pelbagai hak penjenamaan seperti papan iklan di tepi padang, penggunaan logo kelab serta imej pemain, dan pengaktifan jenama di stadium.

Selain itu, Luno mahu menjadikan kerjasama ini sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kriptowang dalam kalangan rakyat Malaysia, mendemokrasikan akses kepada pasaran kriptowang dan menambahbaik inisiatif celik kewangannya kepada khalayak yang lebih luas.

Untuk pengetahuan semua, Luno merupakan salah sebuah platform jual beli kriptowang yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Menerusi platform ini, orang ramai boleh membeli dan menjual beberapa kriptowang yang sah di Malaysia seperti Bitcoin, Ethereum, Ripple dan Litecoin.

komen