Penganjur liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan telah membuat permohonan kepada kerajaan untuk melonggarkan tiga prosedur operasi standard (SOP) dalam saingan bola sepak musim ini.
Antara perkara yang dimohon oleh MFL sepertimana dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam adalah makan dan minum di dalam stadium dan membenarkan pemain berstatus kontak rapat bermain.
“Permintaan pertama adalah untuk membenarkan makan dan minum di dalam stadium, sehingga ke hari ini kita tidak dapat jawapan yang positif,” katanya dalam sidang media selepas majlis mengumumkan kerjasama antara MFL dan platform jual beli kriptowang, Luno.
“Kedua kita telah meminta juga pertimbangan menggunakan peraturan antarabangsa, dimana jikalau (pemain) positif (Covid-19), kuarantin, (dan pemain) negatif boleh terus bermain.”
“Kita telah alami di (Piala) AFF Suzuki dimana ada dua individu (pemain skuad kebangsaan) berkongsi bilik, yang negatif boleh pergi bermain tetapi yang positif kena kuarantin dalam bilik.” jelasnya kepada para pengamal media yang hadir.”
“Peraturan yang kita cadangkan bukan peraturan yang kita cipta sendiri, tetapi peraturan yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa, dengan itu kita mendapat ‘pushback’ yang negatif,” jelasnya lagi.
Permohonan yang ketiga adalah menambah bilangan kehadiran penonton ke stadium namun ianya juga ditolak oleh pihak kerajaan.
“Kita ada tiga permintaan yang telah kita keluarkan kepada kerajaan tetapi pada masa ini ketiga-tiga (permintaan) itu tidak boleh dipertimbangkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Stuart mengharapkan perkara ini boleh dipertimbangkan semula oleh kerajaan dalam kelonggaran sektor pada bulan Mac nanti.