Artikel

BATC 2022: ‘Comeback’ Epik Tze Yong Hiasi Kemenangan 5-0 Malaysia Ke Atas Singapura

Pasukan lelaki Malaysia berjaya memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 peringkat Kumpulan B dengan kemenangan yang meyakinkan 5-0 ke atas Singapura.

Dalam perlawanan tersebut, pertembungan antara Ng Tze Yong dan Jason Teh Jia Heng pada perlawanan ketiga menyajikan aksi yang paling sengit yang mencuri perhatian peminat dan penonton badminton tanah air.

Ketika itu, Tze Yong terlebih dahulu tumpas pada set pertama dengan skor 17-21. Namun begitu, pemain berusia 21 tahun ini bangkit mengikat Jason Teh pada set kedua dengan skor 24-22.

Dan momentum daripada set kedua itu diteruskan oleh Tze Yong pada set penentuan sehingga berjaya mengalahkan Jason Teh dengan skor 21-19 sekaligus mengesahkan kemenangan Malaysia ke atas Singapura dengan kedudukan 3-0.

Kemudiannya, pasangan beregu Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mudah meletakkan Malaysia mengatasi Singapura dengan kedudukan 4-0 hasil kemenangan ‘straight set’  dengan skor 21-10 dan 21-13. 

Seterusnya, taruhan perseorangan terakhir, Leong Jun Hao menutup perlawanan hari ini dengan menyumbangkan kemenangan kelima buat Malaysia hasil menumpaskan Joel Koh Jia Wei dengan keputusan 21-17 dan 22-20. 

Terdahulu,pada perlawanan pembukaan, perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia mencipta kemenangan mudah ke atas Juara Dunia 2021, Loh Kean Yew secara ‘straight set’ dengan pungutan mata 21-6 dan 21-14.

Skrip yang sama diulang oleh beregu lelaki No.1 Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berhasil merekodkan kemenangan ke atas Eng Keat Wesley Koh-Danny Bawa Chrisnanta dengan skor 21-14 dan 21-12.

Featured Image: Badminton Asia

komen