Persembahan perseorangan wanita negara, S. Kisona serta dua beregu wanita negara, pada hari ini, membolehkan Malaysia bukan sahaja melangkah ke saingan separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selaku juara Kumpulan Y.
Malahan, kemenangan yang diraih ketiga-tiga wakil negara ini ketika menentang pasukan India, pada petang tadi, berjaya memastikan Malaysia menempah slot ke saingan Piala Uber 2022 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada bulan Mei kelak.
Kemenangan Malaysia ke atas India ini dimulakan oleh Kisona yang menumpaskan Aakarshi Kashyap menerusi tiga set perlawanan yang berkesudahan dengan skor 21-16, 18-21 dan 21-16.
Seterusnya, momentum kemenangan ini diteruskan oleh gandingan ‘scratch pair’ Pearly Tan-Valeree Siow yang menumpaskan Khushi Gupta-Mehreen Riza dengan sangat mudah iaitu 21-1 dan 21-6.
Perseorangan kedua India, Ashmita Chaliha yang beraksi pada perlawanan ketiga berjaya menyekat Malaysia daripada meraih kemenangan awal dengan menumpaskan pemain remaja, Siti Nurshuhaini dengan skor 21-11 dan 21-19.
Bagaimanapun, kemenangan Malaysia tidak mampu disekat lag oleh India apabila Teoh Mei Xing-Anna Cheong turun beraksi pada perlawanan keempat dan merekodkan kemenangan ‘straight set’ ke atas Arul Bala Radhakrishnan-Nila Valluvan dengan skor 21-10 dan 21-12.
Perlawanan kelima dimana Malaysia diwakili oleh pemain berusia 19 tahun, Myisha berakhir dengan kekalahan kepada Tara Shah dengan skor 21-16 dan 21-15. Keputusan ini menjadikan perlawanan antara Malaysia dan India berkesudahan 3-2.
Featured Image: Badminton Asia