Artikel

K-League 2022 Dapat Penajaan Daripada Widad Langkasuka

Saingan bola sepak domestik yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) iaitu K-League mengumumkan barisan penajanya.

Menerusi satu majlis pelancaran yang diadakan semalam, penaja utama Kedah Darul Aman FC musim lalu, Widad Langkasuka diperkenalkan sebagai penaja utama disamping Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Lotto selaku penaja bersama.

Hasil daripada penajaan syarikat berkenaan, Widad turut diangkat sebagai ‘title sponsor’ bagi saingan bola sepak peringkat negeri Kedah ini sekaligus menjadikan saingan bergelar Widad K-League 2022.

Untuk makluman semua, kejohanan di bawah kelolaan K-League ini meliputi beberapa kejohanan seperti KFA Junior Cup, Piala Menteri Besar Kedah, Piala KFA, KFA Futsal League dan KFA Beach Soccer.

Penganjuran K-League ini bertujuan untuk mencungkil bakat dari setiap pelusuk negeri Kedah dan membuka peluang buat orang ramai daripada pelbagai peringkat umur untuk terlibat dalam sukan bola sepak.

Sebagai tambahan, majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Presiden KFA merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor sambil disaksikan oleh barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA, Ahli Gabungan KFA dan para pengamal media.

Featured Image: FA Kedah

komen