Indra Widjaja Dipilih Sebagai Jurulatih Lee Zii Jia Badminton Club
February 17, 2022 Hafizuddin Omar

Jurulatih kelahiran Indonesia, Indra Widjaja dipilih oleh jaguh badminton negara, Lee Zii Jia untuk menjadi jurulatih bagi kelabnya, Lee Zii Jia Badminton Club.

Menurut laporan akhbar tempatan, Utusan Malaysia, antara faktor Zii Jia yang akan bergerak secara persendirian atau bebas (independent) selepas ini memilih Indra sebagai jurulatihnya kerana beliau merupakan individu penting disebalik pencapaiannya pada hari ini selain melayan dirinya bagaikan seorang anak.

Lee Zii Jia

Bagaimanapun, Indra masih mempunyai kontrak bersama badan induk badminton negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku jurulatih perseorangan wanita negara sehingga 31 Mac ini.

Justeru, khidmat Indra hanya boleh mula digunakan Lee Zii Jia dan kelab badmintonnya selepas daripada tarikh tersebut. Pada masa yang sama, Zii Jia turut memaklumkan perancangannya untuk menambah khidmat pakar fisio dan jurulatih kecergasan ke dalam kelabnya itu.

Dokumen perakuan pendaftaran Lee Zii Jia Badminton Club

Untuk makluman semua, pendaftaran Lee Zii Jia Badminton Club telah diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) pada 15 Februari lalu. Difahamkan, urusan pendaftaran kelab ini turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Ti Lian Ker.

Dalam laporan yang sama, pemain yang menghuni ranking ketujuh dunia ini memberitahu tidak merancang untuk membawa masuk mana-mana pemain muda menyertai kelabnya.

Komen