AFC Mengesahkan Malaysia Jadi Tuan Rumah Kelayakan Piala Asia 2023
February 17, 2022 Hafizuddin Omar

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Malaysia menjadi salah sebuah negara yang menjadi tuan rumah atau hos bagi Kelayakan Piala Asia 2023, bulan Jun nanti.

Perkembangan positif ini dimaklumkan secara rasmi oleh AFC dan dikongsikan menerusi pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi.

Ini bermakna skuad Harimau Malaya akan merebut salah satu daripada baki 11 slot ke saingan Piala Asia 2023 di gelanggang sendiri, Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setakat ini, hanya 13 pasukan telah mengesahkan tempat ke saingan yang akan berlangsung di China, pada tahun depan itu.

Untuk makluman semua, selain Malaysia, lima negara lain yang turut terpilih untuk menjadi hos bagi saingan kelayakan ini ialah India, Kuwait, Republik Kyrgyz, Mongolia dan Uzbekistan.

Sementara itu, satu majlis undian telah dijadualkan oleh AFC pada 24 Februari nanti. Pasukan lawan kepada skuad Harimau Malaya akan diketahui selepas majlis undian itu kelak.

Featured Image: Perbadanan Stadium Malaysia

Komen