Badan induk hoki negara, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memaklumkan saingan TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) akan menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam semua perlawanan yang disiarkan secara langsung musim ini.
Selain itu, KHM turut memaklumkan sebanyak 30 perlawanan MHL akan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran Sukan RTM dan TV Okey.
Perkembangan ini dimaklumkan sendiri oleh pihak KHM sambil mengumumkan RTM sebagai rakan penyiaran rasmi bagi kejohanan MHL. Ianya dikongsikan oleh KHM menerusi pelbagai platform laman sosialnya, pada hari ini.
“KHM dengan berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan rakan Penyiaran Rasmi bagi Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022.”
“TNB MHL 2022 juga akan menggunakan sistem ‘Video Assistant Referee’ atau VAR dalam semua perlawanan yang disiarkan secara langsung,”
“KHM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak RTM di atas bantuan untuk menggunakan sistem tersebut pada kejohanan kali ini.” tulisnya kenyataan KHM di laman media sosialnya.
Untuk makluman semua, saingan MHL 2022 akan membuka tirainya pada hari esok iaitu 18 Februari dan akan tamat pada Jun 2022.
Featured Image: Malaysian Hockey Confederation