Penang Umum Penyerang Kelahiran Jerman, Pegang Pasport Asia Jadi ‘Pendamping’ Casagrande
February 17, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga ketiga, Penang FC melengkapkan kuota pemain importnya dengan kehadiran penyerang kelahiran Hannover, Jerman.

Menerusi makluman di pelbagai platform media sosial kelab terbabit, pemain yang dimaksudkan itu ialah Hilal El-Helwe yang berusia 27 tahun dan merangkap penyerang skuad kebangsaan Lubnan.

Pengumuman penyertaan Hilal ini menjawab persoalan kalangan peminat dan penyokong skuad Harimau Kumbang mengenai ‘pendamping’ kepada penyerang utama, Casagrande di bahagian serangan sepertima diberikan bayangan oleh ketua jurulatih, Tomas Trucha.

Baca: Casagrande Tidak Keseorangan Di Depan, Penang Mahu Bawa Seorang Lagi Penyerang Import

Berdasarkan semakan di portal informasi bola sepak antarabangsa, Transfermarkt, pemain berketinggian 1.87 meter (m) ini memulakan karier bola sepaknya di negara kelahirannya. 

Pelbagai kelab pernah disertai oleh Hilal di negara yang pernah memenangi Piala Dunia sebanyak 4 kali itu. Antaranya ‘reserved team’ Vfl Wolfsburg II, TSV Havelse dan Hallescher FC.

Hilal El-Helwe

Kelab terakhir yang disertainya sebelum menandatangani kontrak bersama Penang adalah Al-Ahed yang bersaing dalam kancah liga bola sepak di negara yang diwakilinya ketika ini.

Untuk makluman semua, Hilal sememangnya merupakan seorang penyerang tengah namun pemain ini turut berkemampuan untuk beraksi di kedua-dua bahagian sayap serta selaku bahagian tengah.

Sebagai tambahan, selain Hilal, empat pemain import yang akan memperkuatkan Penang untuk mengharungi Liga Malaysia 2022 ialah Casagrande, Endrick Dos Santos, Rafael Vitor dan Christian Rontini.

Featured Image: FA Lebanon

Komen