Pekerja kesihatan yang menjadi kontak rapat kepada individu yang positif Covid-19 tidak perlu lagi menjalani kuarantin atau isolasi.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media yang diadakan pada petang semalam.
Difahamkan protokol tersebut telah pun diamalkan dalam kalangan pekerja kesihatan menerusi pekeliling yang diedarkan pada 15 Februari lalu.
“Satu pekeliling telah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah untuk pekerja kesihatan mengenai satu protokol baharu.
“Protokol itu menjelaskan, mereka yang disahkan kontak rapat kini tidak lagi perlu menjalani isolasi sekiranya tidak bergejala,” katanya.
Menurut Khairy merangkap Ahli Parlimen Rembau itu lagi, pihak kerajaan akan mengimplementasikan protokol yang sama terhadap individu kalangan bukan pekerja kesihatan apabila bersedia kelak.
“Jadi kita mungkin akan guna pakai protokol yang sama apabila kita rasa sudah boleh melaksanakannya kepada orang ramai.
“Saya juga sudah minta (Tan Sri) Dr. Noor Hisham untuk maklum kepada sektor kesihatan swasta bahawa mereka juga boleh ikut protokol sama seperti KKM,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Sukanz melaporkan penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) telah memohon protokol yang sama melibatkan pemain bola sepak yang menjadi kontak rapat kepada pihak kerajaan.
Sekiranya keputusan ujian Covid-19 melibatkan pemain itu negatif, pemain itu tidak perlu menjalani kuarantin dan dibenarkan untuk bermain. Hanya yang positif Covid-19 sahaja perlu menjalani kuarantin
Untuk pengetahuan smeua, protokol yang sama ini digunakan dan diamalkan oleh penganjur bola sepak di eropah, antarabangsa serta ketika penganjuran Piala AFF 2020 di Singpura yang turut melibatkan skuad senior kebangsaan, Harimau Malaya pada hujung tahun lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam memaklumkan permintaan oleh MFL ini telah ditolak oleh pihak kerajaan buat masa ini.
Featured Image: Malaysian Football League