Ketika tiada pasukan dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto2 ataupun Moto3 yang merekrut Adam Norrodin, sebuah pasukan hadir mendapatkan khidmatnya untuk beraksi dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022.
Bekas pelumba Kejuaraan CEV Moto2 Eropah pada musim lalu ini mendapat peluang untuk beraksi di saingan ARRC selepas pasukan tempatan, OneXOX BMW TKKR Racing Team mengumumkan menandatangani khidmatnya pada musim ini.
“Adam yang berpengalaman di saingan Kejuaraan Dunia Moto 2 dan Moto 3 serta Kejuaraan Eropah (CEV) telah menarik minat kami untuk membawa cabaran yang cukup mencabar bagi tahun ini.”
“Selepas 2 tahun perlumbaan ARRC tidak dapat diteruskan akibat pandemik Covid-19,”
“Kami telah membuat persiapan rapi serta penilaian yang teliti bagi mempertahankan kejuaraan keseluruhan untuk tahun ini.”
“Dengan kemasukan Adam, ia akan menguatkan lagi pasukan kami dalam saingan yang sudah semestinya sengit dan seterusnya mengibarkan bendera Malaysia di pentas podium antarabangsa,” kata Prinsipal Pasukan, Bobie Farid Shamsuddin menerusi siaran media yang dikeluarkan.
Dimaklumkan pelumba berusia 23 tahun akan menunggang jentera terbaharu, BMW S1000RR model tahun 2022 untuk beraksi dalam kategori Asia Superbike (ASB) 1000 bergandingan bersama juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman.
Untuk pengetahuan semua, perlumbaan pertama ARRC 2022 ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada bulan Mac kelak.
Featured Image: TKKR Racing Team