Pasangan beregu serta perseorangan muda negara, Goh Sz Fei-Nur Izzuddin dan Leong Jun Hao berjaya menyelamatkan pasukan lelaki negara daripada diaibkan oleh Jepun yang dibarisi pemain-pemain pelapis dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.
Ketika Malaysia ketinggalan 1-2, Sze Fei-Izzuddin yang turun pada perlawanan keempat berhasil merekodkan kemenangan ke atas Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida sekaligus mengikat Jepun dengan kedudukan 2-2.
Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-17 dunia itu berjaya menundukkan lawannya menerusi tiga set permainan dengan skor yang berkesudahan 17-21, 21-17 dan 21-17.
Memasuki perlawanan terakhir, Jun Hao berjaya menyudahkan permainan dengan merekodkan kemenangan ke atas Koshiro Moriguchi dengan pungutan mata 21-18 dan 21-16 sekaligus mengesahkan kemenangan 3-2 Malaysia ke atas Jepun.
Pada awalnya, Malaysia terlebih dahulu mendahului 1-0 hasil sumbangan kemenangan oleh jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia yang menumpaskan Riku Hatano dengan skor 15-21, 21-6 dan 21-15 pada perlawanan pertama.
Bagaimanapun, percaturan Malaysia untuk menumpaskan Jepun terganggu apabila beregu No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas mengejut kepada pasangan yang menduduki ranking dunia jauh lebih rendah daripadanya, Ayato Endo-Yuta Takei.
Lebih mengejutkan, gandingan Ayato-Yuta yang berada di ranking ke-857 ini berjaya mengalahkan Aaron Chia-Wooi Yik secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-23 dan 16-21.
Di perlawanan ketiga pula, Aidil Sholeh turut sama gagal membenam lawannya, Koo Takahashi dimana dia tumpas d dengan keputusan 21-19, 16-21 dan 15-21 sekaligus memberikan Jepun mendahului 2-1.
Sebagai tambahan, kemenangan 3-2 ke atas Jepun ini membolehkan Malaysia menamatkan saingan peringkat Kumpulan B selaku juara.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia