AFF B-23: Serba-Serbi Tidak Menjadi, Harimau Muda Tumpas Mengejut Kepada Laos
February 18, 2022 Hafizuddin Omar

Corak permainan yang tidak meyakinkan serta serba-serbi tidak menjadi menyaksikan skuad negara kendalian Brad Maloney terpaksa akur tumpas pada perlawanan pertama Kejuaraan AFF Bawah 23 Tahun (B-23), hari ini.

Lebih mengejutkan, skuad yang mendapat julukan Harimau Muda ini tumpas kepada Laos yang dibimbing jurulatih Jerman, Michael Weiss dengan keputusan 1-2.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi A. Selvan pada minit ke-45+1. Bagaimanapun, Laos kembali mengikat Malaysia menerusi Bounphachan Bounkong pada minit ke-56.

Malaysia masih meneruskan rentak yang sama sepanjang separuh masa kedua dengan sukar untuk membina permainan serta mencipta peluang untuk mencari gol tambahan.

Disebalik pergelutan yang dihadapi Malaysia itu, Laos tampil mengambil peluang menggandakan jaringan menerusi tandukan oleh Petdhevanh Somsanid pada minit ke-79 sekaligus mendahului dengan skor 2-1 sehingga tamat permainan.

Komen