Artikel

Pasukan Lelaki Malaysia Juarai BATC 2022 Selepas Atasi Indonesia 3-0

Trofi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menjadi milik pasukan lelaki Malaysia selepas berhasil menumpaskan skuad jiran tetangga merangkap juara bertahan di pentas final, hari ini.

Skor cemerlang 3-0 itu diraih oleh Malaysia menerusi tiga taruhan terawal iaitu jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, beregu No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta pemain muda perseorangan negara yang kian meningkat, Ng Tze Yong.

Zii Jia yang menjadi taruhan terawal berhasil menyumbang mata pertama buat Malaysia dengan merekodkan kemenangan ke atas Dwi Wardoyo Chico Aura menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan keputusan 14-21, 21-12 dan 21-10.

Pertarungan kedua pula melibatkan pemain beregu. Malaysia yang diwakili oleh Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berhasil meneruskan rentak kemenangan dengan menumpaskan lawannya, Carnando Leo Rolly dan Marthin Daniel dengan skor akhir 17-21, 21-13 dan 21-18.

Di perlawanan ketiga, Tze Yong yang berusia 21 tahun diturunkan untuk menentang Ikhsan Rumbay. Dia bukan sahaja tidak mempunyai masalah untuk menundukkan lawannya malahan turut merakamkan kemenangan dengan secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-14 dan 21-15.

Keputusan itu memberikan mata ketiga secara berturut-turut buat pasukan negara sekaligus menobatkan Malaysia selaku juara BATC yang baharu.

Featured Image: Badminton Asia 

komen