Tiada Sasaran Diletak, Kejuaraan AFF B-23 Hanya Sebagai Pendedahan – Presiden FAM
February 21, 2022 Hafizuddin Omar

Kejuaraan AFF B-23 yang sedang berlangsung di Kemboja pada ketika ini hanya dijadikan sebagai medan pendedahan buat skuad Harimau Muda yang dibarisi oleh rata-rata pemain bawah 19 dan 20 tahun.

Menurut laporan akhbar tempatan, Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin memaklumkan pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk dicapai oleh skuad kendalian Brad Maloney itu.

Menjelaskan perkara tersebut, beliau berkata, fokus dan sasaran utama yang ingin dicapai skuad Harimau Muda adalah ketika beraksi dalam saingan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada bulan Jun nanti dengan mempertaruhkan sebuah skuad yang lebih mantap.

Terdahulu, skuad Harimau Muda serta badan induk bola sepak negara menerima kritikan bertubi-tubi oleh peminat dan penyokong tempatan apabila Malaysia tumpas mengejut 1-2 kepada Laos dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Kejuaraan AFF B-23, Jumaat lalu.

“Pasukan terbaik kita akan dihantar pada kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan nanti. Sasaran kita adalah di Uzbekistan.

“Bagaimanapun, kita harap pasukan bangkit menentang Loas esok (hari ini). Kita banyak peluang dalam perlawanan kelmarin namun tidak ada rezeki menang.

“Ini adalah skuad pelapis bawah 19, 20 tahun sebagai pendedahan untuk kejohanan ini. Kita tidak meletak apa-apa sasaran,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar tersebut.

Petang ini, skuad B-23 negara akan bertemu Laos yang dibimbing oleh jurulatih Jerman, Michael Weiss sekali lagi dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan B.

Hanya juara Kumpulan A, B, C serta naib juara terbaik sahaja yang layak ke peringkat separuh akhir.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen