Artikel

Tze Yong Diundi Menentang Pemain No.2 Indonesia Di Terbuka Jerman 2022

Pemain badminton perseorangan lelaki negara yang kian meningkat, Ng Tze Yong bakal berhadapan dengan pemain No.2 Indonesia merangkap pemain No.8 dunia di kejohanan Terbuka Jerman yang akan berlangsung dua minggu lagi.

Hasil undian yang dikemaskini oleh penganjur pada 15 Februari lalu memperlihatkan Tze Yong yang berusia 21 tahun bakal menentang Jonahan Christie pada Pusingan 32 di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 BWF  terbabit.

Untuk makluman semua, Tze Yong dan Jonatan pernah berentap sebanyak satu kali pada peringkat suku akhir dalam saingan Piala Thomas 2020 yang berlangsung di Aarhus, Denmark pada tahun lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Tze Yong terpaksa akur tumpas kepada Jonatan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-14, 19-21 dan 16-21 dalam tempoh masa sekitar 75 minit.

Pasukan Lelaki Malaysia muncul juara BATC 2022 – Foto: Badminton Asia

Semalam, Tze Yong memastikan pasukan lelaki Malaysia muncul juara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menundukkan perseorangan Indonesia, Ikhsan Rumbay pada perlawanan ketiga.

Trofi BATC menjadi milik skuad lelaki negara selepas Tze Yong berhasil mencatatkan kemenangan secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-14 dan 21-15 dalam tempoh masa 47 minit.

komen