Beregu Scotland Jadi Lawan Pertama Buat Gandingan Yew Sin-Liu Ying
February 21, 2022 Hafizuddin Omar

Gandingan beregu campuran baharu antara Ong Yew Sin dan Goh Liu Ying akan menerima tetangan pertama daripada beregu Scotland iaitu Adam Hall dan Julie Macpherson.

Adam-Julie yang menghuni ranking 51 dunia pada ketika ini bakal menentang Yew Sin-Liu Ying pada perlawanan Pusingan 32 di kejohanan Terbuka Jerman yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.

Lawan buat pasangan yang mengumumkan membentuk gandingan bersama pada penghujung Januari lalu diketahui selepas penganjur memuat naik dokumen kemaskini hasil undian pada 15 Februari.

Selepas daripada kejohanan di Jerman, Yew Sin-Liu Ying yang merupakan pemain bebas (independent) bakal berentap di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2022 – Jelajah Dunia Super 1000 BWF. 

Nama mereka telah berada dalam tersenarai layak untuk beraksi dalam kejohanan tersebut namun siapakah yang akan menjadi lawan mereka akan diketahui dalam masa 1-2 hari lagi.

Untuk makluman semua, sejak sekian lama, Liu Ying bergandingan bersama Chan Peng Soon. Akan tetapi, kedua-dua pemain membuat keputusan untuk berpisah dan masing-masing membawa haluan baharu.

Peng Soon membuat keputusan untuk bernaung kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan membentuk gandingan baharu bersama pemain muda, Valeree Siow.

Manakala Liu Ying pula memilih pemain beregu lelaki No.11 dunia, Yew Sin sebagai gandingan baharunya untuk meneruskan karier badminton dalam kategori beregu campuran.

Komen