Enam negara yang telah memenangi bidaan sebagai hos Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun nanti perlu memenuhi kriteria-kriteria atau syarat-syarat yang digariskan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Menurut laporan akhbar tempatan, Sinar Harian, sekiranya hos atau tuan rumah gagal memenuhi perkara tersebut, pihak AFC akan menarik balik hak tersebut dan akan menggantikannya dengan negara lain yang turut bertanding di pusingan kelayakan itu.
Antara kriteria yang perlu dipenuhi oleh setiap negara hos adalah memberi jaminan pemain, pegawai dan pengadil tidak perlu menjalani sebarang kuarantin apabila tiba di negara-negara hos.
Selain itu, mereka juga perlu mewujudkan gelembung sukan, penginapan hotel dengan penguatkuasaan yang ketat serta kemudahan perubatan.
“Kami telah menetapkan senarai keperluan yang perlu dipenuhi oleh setiap negara tuan rumah untuk menganjurkan pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.
“Antaranya mewujudkan gelembung sukan, penginapan hotel dengan penguatkuasaan yang ketat, jaminan pemain, pegawai dan pengadil tidak akan menjalani sebarang kuarantin serta kemudahan perubatan.
“Jika negara-negara berkenaan tidak dapat memberikan jaminan mengenai kriteria-kriteria tersebut, mereka tidak akan mendapat hak untuk menjadi hos.
“Apa pun kami tidak bimbang kemampuan mereka untuk jadi tuan rumah, namun kami hanya mahu memastikan kesemua negara itu dapat memberikan jaminan,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.
Baca: AFC Mengesahkan Malaysia Jadi Tuan Rumah Kelayakan Piala Asia 2023
Untuk makluman semua, Malaysia merupakan salah satu enam negara yang memenangi bidaan dan terpilih sebagai hos untuk Kelayakan Piala Asia ini bersama-sama India, Kuwait, Republik Kyrgyz, Mongolia dan Uzbekistan.
Sebagai tambahan, satu majlis undian untuk peringkat pusingan kelayakan ini akan diadakan pada 24 Februari kelak untuk menentukan negara yang akan diundi bersama-sama enam negara hos yang terpilih.
Featured Image: Asian Football Confederation