Kembar Ryan Lambert Sertai Pasukan Juara Piala Malaysia 2021
February 22, 2022 Hafizuddin Omar

Adik-beradik kembar kepada Ryan Lambert iaitu Declan Lambert diumumkan menyertai pasukan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City) secara rasmi.

Penyertaan pemain berusia 23 tahun itu disahkan oleh KL City menerusi video berdurasi 56 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan, pada hari ini.

Posisi utama Declan adalah bek kanan namun dia juga merupakan seorang pemain yang versatil dengan keupayaan untuk beraksi sebagai pemain tengah.

Untuk makluman semua, Declan merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia yang lahir di di ibu negara, Kuala Lumpur. Walaupun lahir di ini, Declan memulakan karier bola sepaknya di Australia bersama Richmond Soccer Club bermula tahun 2016.

Tidak lama kemudian, Declan berhijrah ke Belanda dengan menyertai sebuah pasukan liga bawahan negara terbabit. Pada tahun 2018, Declan berhasil mengikat kontrak bersama pasukan yang beraksi dalam divisyen dua Belanda iaitu, FC Den Bosch.

Dengan statusnya sebagai pemain kacukan yang lahir di sini serta datang daripada negara kuasa besar bola sepak di eropah dan dunia, Declan berkemungkinan besar akan menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Bojan Hodak untuk mengisi posisi bek kanan KL City sepanjang musim ini.

Dijangka kelibat Declan akan dapat dilihat oleh peminat skuad ibu kota pada perlawanan Piala Sumbangsih 2022 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Sabtu ini.

Komen