Artikel

Ranking BWF: Kean Yew Jadi Pemain ‘Top 10’ Dunia Selepas Bantu Singapura Layak Ke Piala Thomas

Pemain badminton Singapura, Loh Kean Yew kini tergolong dalam kalangan 10 perseorangan lelaki terbaik dunia selepas membantu negaranya melayakkan diri ke saingan Piala Thomas.

Menerusi kemaskini ranking terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, ranking pemain kelahiran Pulau Pinang ini mencatatkan peningkatan sebanyak tiga anak tangga sekaligus menduduki tangga ke-9 dunia, pada minggu ini.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kali pertama pemain berusia 24 tahun ini menempatkan diri dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Kedudukan 10 perseorangan lelaki terbaik dunia pada minggu ke-8 tahun 2022.

Peningkatan itu terhasil daripada pencapaian pasukan lelaki negaranya, Singapura yang berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, pada minggu lalu.

Sebagai tambahan, kejayaan Singapura mara ke peringkat separuh akhir BATC 2022 membolehkan mereka melayakkan diri ke saingan badminton berpasukan lelaki terulung dunia, Piala Thomas 2022 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada 8-15 Mei kelak.

Untuk makluman semua, ini merupakan kali ketiga negara sebarang tambak berjaya mengesahkan tempat ke Piala Thomas selepas tampil kali pertama dan kedua pada tahun 1986 dan 2014 masing-masing.

Featured Image: Badminton Asia

komen