Perjalanan jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia untuk mempertahankan trofi Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England yang dimenanginya pada tahun lalu bermula dengan menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada Pusingan 32.
Pemain Jepun yang menghuni ranking ke-19 dunia itu menjadi lawan kepada Zii Jia setelah pihak penganjur mengeluarkan keputusan undian menerusi laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pada hari ini.
Berdasarkan rekod, Zii Jia pernah berentap sebanyak empat kali menentang pemain berusia 27 tahun itu. Daripada empat pertemuan tersebut, Zii Jia berhasil meraih tiga kemenangan semasa beraksi di Kejohanan Dunia, Terbuka New Zealand dan Malaysia Masters pada tahun 2019.
Sementara itu, hasil undian turut memperlihatkan Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan keenam untuk menjuarai kejohanan ini berkemungkinan bakal berhadapan bekas pemain No.1 dunia, Kento Momota pada peringkat suku akhir sekiranya melepasi ‘halangan’ di Pusingan 32 dan Pusingan 16.
Di Pusingan 32, Momota telah diundi menentang pemain Denmark yang menghuni ranking ke-22 dunia, Hans-Kristians Solberg Vittinghus.
Untuk makluman semua, Zii Jia berhasil meraih trofi kejuaraan saingan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 BWF ini setelah berhasil menumpaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen pada perlawanan akhir yang berkesudahan dengan skor 30-29, 20-22 dan 21-9.