Artikel

Wei Chong-Kai Wun Diundi Menentang Juara Dunia Pada Penampilan Pertama Kejohanan All England

Pasangan beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun disenaraikan untuk beraksi buat kali pertama di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) – sebuah saingan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 BWF.

Kejohanan tahunan ini dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 20 Mac kelak bertempat di Utilita Arena Birmingham, United Kingdom.

Berdasarkan hasil undian yang dikeluarkan oleh penganjur pada hari ini, beregu yang berusia 22 dan 21 tahun masing-masing ini bakal berhadapan cabaran besar dengan bertemu beregu Jepun yang semakin meningkat naik iaitu Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Tangkap layar hasil undian bagi sebahagian kategori beregu lelaki di Kejohanan Terbuka Seluruh England 2022.

Untuk rekod, pasangan Jepun yang diletakkan sebagai pilihan ketiga untuk menjuarai kejohanan ini merangkap penghuni ranking keempat dunia menampilkan prestasi yang memberangsangkan sejak Oktober tahun lalu. 

Hoki dan Kobayashi meraikan kejayaan merangkul Kejuaraan Dunia BWF 2021.

Daripada enam kejohanan yang disertai bermula bulan tersebut, Hoki dan Kobayashi berjaya merangkul empat kejuaraan iaitu di pentas Terbuka Denmark, Indonesia Masters, Jelajah Dunia Akhir BWF dan Kejohanan Dunia BWF.

Untuk makluman semua, Wei Chong-Kai Wun yang kini menghuni ranking ke-45 dunia belum pernah mempunyai rekod bertemu Hoki-Kobayashi setakat ini.

Sebagai tambahan, kejohanan Terbuka England ini bakal menjadi pentas tertinggi yang pernah disertai oleh Wei Chong-Kai Wun sejak digandingkan bermula Mac 2021. Kejohanan tertinggi yang pernah disertai mereka sebelum ini adalah bertaraf Jelajah Dunia Super 300 BWF sahaja.

komen