Pemain perseorangan remaja dan beregu wanita meraih peningkatan yang ketara dalam ranking dunia selepas berhasil membantu pasukan wanita Malaysia meraih pingat gangsa di Kejohanan Badminton Bepasukan Asia (BATC) 2022.
Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, pemain berusia 19 tahun, Myisha Mohd Khairul yang beraksi sebanyak satu kali meraih peningkatan sebanyak 50 anak tangga sekaligus menghuni tangga ke-322 dunia, pada minggu ini.
Sementara itu, gandingan Teoh Mei Xing dan Anna Cheong yang tampil sebanyak dua kali di kejohanan itu pula merekodkan peningkatan 13 anak tangga menjadikan mereka menghuni ranking ke-79 dunia.
Manakala seorang lagi pemain remaja, Siti Nurshuhaini Azman yang berusia 17 tahun turut merekodkan peningkatan pada kedudukan rankingnya. Dia kini menduduki tangga ke-309 dunia hasil peningkatan dua anak tangga pada minggu ini.
Akhir sekali, kedudukan Kisona Silvaduray dan Eoon Qi Xuan pula kekal di tangga ke-64 dan ke-126 dunia masing-masing.
Featured Image: Badminton Asia