Sarawak United Lengkapkan Kuota Import Dengan Pemain Perancis-Kemboja, Ivory-Togo & Argentina-Itali
February 23, 2022 Hafizuddin Omar

Jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 2022 telah pun ditutup dan pendatang baharu Liga Super, Sarawak United sempat melengkapkan kuota importnya dengan kehadiran tiga pemain baharu.

Menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya, pasukan yang mendapat julukan Kenyalang Emas ini merekrut khidmat pemain tengah kacukan Perancis-Kemboja, penyerang Ivory-Togo dan pertahanan Argentina-Itali.

Paling mencuri tumpuan, kehadiran pemain tengah kelahiran Perancis berdarah Kemboja, Boris Kok yang berusia 30 tahun. Bekas pemain Liga Perancis dan Phnom Penh Crown FC ini ditandatangani oleh Sarawak United untuk mengisi kuota pemain import ASEAN.

Keduanya, skuad kendalian E. Elavarasan mendapatkan penyerang kacukan Ivory-Togo merangkap bekas pemain dua buah pasukan Liga Malaysia iaitu Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, Francis Kone yang berusia 31 tahun.

Melengkapkan kuota pemain mereka adalah pertahanan kelahiran Argentina yang mempunyai kerakyatan Itali, Gonzalo Manuel Soto. Dia juga berumur 31 tahun dan pernah beraksi dalam kancah tempatan bersama Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) sekitar tahun 2016 dan 2017.

Sementara itu, dua pemain import lagi merupakan pemain yang dikekalkan daripada skuad musim lalu. Mereka ialah Uche Agba (Nigeria) dan Lee Chang-hoon (Republik Korea) yang merupakan penyerang dan pemain sayap masing-masing.

Untuk makluman semua, Sarawak United bakal membuka kempen Liga Super dengan menentang naib juara pada musim lalu, Kedah Darul Aman FC (Kedah) pada 4 Mac di laman sendiri, Stadium Negeri, Kuching.

Featured Image: Sarawak United FC Officials

Komen