BAM Beri Bayangan Panggil Yew Sin-Ee Yi Di Kejohanan Piala Thomas 2022
February 23, 2022 Hafizuddin Omar

Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memberikan bayangan akan memanggil beregu bebas (independent), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pada saingan Piala Thomas yang akan berlangsung pada bulan Mei kelak.

Menurut laporan akhbar tempatan berbahasa inggeris, New Straits Times, jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata pihaknya telah berbincang dan mempunyai perancangan mengenai perkara tersebut.

Perancangan untuk memanggil beregu lelaki No.2 negara itu bagi membolehkan beregu muda, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang menghuni ranking ke-45 dunia diberikan peluang beraksi di temasya Sukan SEA Vietnam 2021 pada bulan yang sama.

Rexy Mainaky (kiri).

“Kami telah berbincang perkara itu (skuad Piala Thomas), dan kami telah merancangnya,” kata Rexy seperti dipetik daripada portal akhbar tersebut.

“Kami tidak boleh melupakan Yew Sin-Ee Yi kerana kami juga mempunyai Sukan SEA yang berlangsung pada waktu yang sama.”

“Mereka akan berada di bawah pertimbangan kerana kami mahu memperkuatkan lagi pasukan.”

“Kami akan memberikan peluang kepada Wei Chong-Kai Wun untuk membuktikan (diri mereka) di Sukan SEA, dimana terdapat kategori individu dan berpasukan.”

“Mereka berkemungkinan akan berhadapan dengan pemain yang sama beraksi di sini (BATC).” jelasnya.

Man Wei Chong & Tee Kai Wun.

Gandingan Yew Sin-Ee Yi pada penghujung tahun lalu meningkat dengan ketara. Daripada kejohanan yang disertai bermula Oktober tahun lalu, Yew Sin-Ee Yi berhasil mara ke peringkat separuh dalam tiga kejohanan.

Tiga kejohanan tersebut adalah Indonesia Masters, Jelajah Dunia Akhir BWF dan Kejohanan Dunia BWF. 

Untuk makluman semua, saingan Piala Thomas 2022 akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 8-15 Mei kelak. Sementara itu, temasya Sukan SEA pula bermula 12-23 Mei.

Pasukan lelaki Malaysia berjaya mengesahkan tempat ke saingan Piala Thomas 2022 selepas mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, minggu lalu.

Bukan itu sahaja, mereka juga berjaya merangkul kejuaraan selepas menundukkan pasukan lelaki Indonesia pada perlawanan akhir, Ahad lalu.

Komen