TV1, TV Okey & Sukan RTM Siar Perlawanan Liga Malaysia 2022
February 23, 2022 Hafizuddin Omar

Peminat & penyokong bola sepak tanah air dapat menyaksikan saingan bola sepak tempatan musim ini, Liga Malaysia 2022 di saluran-saluran stesen penyiaran milik kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sebanyak 44 perlawanan termasuk saingan Liga Super yang bakal bersiaran bermula 4 Mac ini serta Piala FA dan Piala Malaysia (tertakhluk kepada perubahan dari semasa ke semasa) dapat ditonton secara langsung di saluran TV1, TV Okey, Sukan RTM serta platform RTM Klik.

Selain itu, perlawanan pembuka tirai, Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau dikenali sebagai Piala Sumbangsih yang menemukan juara Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City), pada Sabtu ini turut disiarkan secara langsung oleh RTM. 

Menteri Komunikasi & Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (dua dari kiri) bersama Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani (tiga dari kiri).

Ini selepas RTM diumumkan sebagai Rakan Penyiar unifi untuk Bola Sepak Liga Malaysia 2022 anjuran Malaysian Football League (MFL) dalam satu majlis yang turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Putrajaya, hari ini.

Kerjasama ini dibentuk agar RTM dapat memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab sosial selaku Hos Penyiar Bersama (co-broadcasting) stesen tidak berbayar milik kerajaan atau Free-to-Air (FTA) untuk memberi siaran percuma kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada mereka yang tidak memiliki akses siaran berbayar atau saluran pay-per-view (PPV).

Kerjasama ini juga merupakan kesinambungan antara RTM bersama-sama pihak MFL dan TM dalam penganjuran saingan bola sepak tempatan pada musim lalu.

Komen