Teka-teki mengenai jurulatih tempatan yang akan mengisi barisan kejurulatihan baharu skuad Harimau Malaya pimpinan Kim Pan-gon terjawab pada hari ini.
Menerusi satu siaran media oleh badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih dari Republik Korea itu memilih E. Elavarasan yang berusia 60 tahun untuk melengkapkan barisan kejurulatihannya.
Difahamkan, pemilihan jurulatih yang membawa Sarawak United muncul naib juara Liga Premier 2021 itu menepati kriteria utama yang dikehendakinya seperti berpengalaman luas dengan senario bola sepak tempatan serta cukup mengenali pemain-pemain yang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.
“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau yang mana saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.
“Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik,” kata Pan-gon.
Terdahulu, Pan-gon yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad senior kebangsaan dengan kontrak selama 2 tahun dengan pilihan lanjutan selama 2 tahun telah memperkenalkan 4 pembantunya, pada minggu lalu.
Empat individu tersebut ialah Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Jun-ho dari Republik Korea (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jae-hun dari Republik Korea (jurulatih analisis prestasi).
Barisan kejurulatihan pimpinan Pan-gon yang turut disertai oleh Elavarasan ini akan menghadapi ‘ujian’ pertama pada bulan hadapan. Mereka akan membimbing skuad Harimau Malaya menentang Filipina dan Singapura pada 23 dan 26 Mac masing-masing dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Featured Image: Sarawak United & Football Association of Malaysia