Biarpun membimbing Melaka United mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, khidmat Zainal Abidin Hassan tetap diketepikan dan digantikan dengan ketua jurulatih baharu dari Bosnia, Risto Vidakovic pada Januari lalu.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 60 tahun ini nampaknya tidak menganggur lama dengan membuka lembaran baharu karier kejurulatihannya bersama kelab yang beraksi dalam saingan Liga M3 iaitu Imigresen FC.
Ini berikutan kelibat Zainal dilihat mengendalikan sesi latihan pasukan tersebut pada petang semalam. Perkara tersebut turut dikongsikan menerusi platform media sosial kelab berkenaan, semalam.

Difahamkan, sebelum ini, Imigresen FC telah menamakan Hamizar Hamzah sebagai ketua jurulatih mereka untuk mengharungi saingan Liga M3 musim ini.
Untuk makluman semua, setakat dua perlawanan yang telah dilalui, Imigresen FC gagal mengutip sebarang mata setelah tumpas kepada Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC. Mereka kini menghuni tangga ke-9 dalam Kumpulan A.
Untuk rekod, Zainal telah mengemudi skuad Hang Tuah selama tiga musim bermula tahun 2018. Sebelum itu, dia turut melatih beberapa pasukan lain seperti Pahang, Selangor dan Pulau Pinang.
Antara kejayaan yang pernah diraihnya sebagai jurulatih adalah membimbing Pahang memenangi Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Featured Image: Imigresen Football Club