Artikel

Jersi Baharu Sri Pahang Keluaran Hakka Clo Dibuka Untuk Tempahan – Harga Bermula RM169.90

Sri Pahang FC bakal melancarkan jersi baharunya pada hari esok (25 Februari) namun kit keluaran Hakka Clo itu sudah boleh ditempah oleh para peminat di laman sesawangnya.

Menerusi laman sesawang syarikat pembekal peralatan sukan bumiputera itu, hakkaclo.com, sebanyak empat jenis jersi ‘player issue’ berlengan pendek telah disenaraikan iaitu Player Home, Player Away, Keeper Home dan Keeper Away.

Harga yang dipaparkan di laman sesawang itu bermula RM169.90 sehingga RM174.90 bergantung kepada saiz jersi yang dipilih. Bersama-sama pembelian jersi ini, peminat akan mendapat Pelitup Muka 3D, Tag Keychain, Pelekat Kereta dan Pelekat Motor.

Selain daripada versi ‘player issue’, berdasarkan tinjaun kami di laman sesawangnya, Hakka Clo dijangka akan mengeluarkan dua versi yang lain iaitu replika dan ‘fans issue’. Bagaimanapun tiada sebarang harga diletakkan untuk kedua-dua versi tersebut buat masa ini.

Untuk makluman semua, skuad Tok Gajah telah menandatangani perjanjian penajaan bersama Hakka Clo sebagai penyedia kelengkapan pakaian sukan pada pertengahan Disember, tahun lalu.

Hasil daripada perjanjian yang dimeterai selama dua tahun ini, Sri Pahang menerima tajaan kelengkapan sukan daripada Hakka Clo yang bernilai RM1,131,533 secara keseluruhan.

komen