Kelantan United Jalin Kerjasama Dengan Kelab J. League, Shonan Bellmare
February 24, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan Liga Premier, Kelantan United FC mengumumkan satu kerjasama dengan pasukan yang beraksi dalam divisyen pertama bola sepak Jepun (J. League) iaitu Shonan Bellmare.

Perjanjian kerjasama membolehkan skuad The Green Deer menerima manfaat dari segi bidang kejurulatihan, menyertai saingan bola sepak remaja Jepun serta urusan perniagaan dan penajaan.

Perkembangan mengenai pasukan yang dibimbing oleh Syamsul Saad ini dimaklumkan sendiri oleh pihak kelab menerusi platform media sosialnya pada hari ini, selepas perbincangan secara maya antara pengurusan tertinggi kedua belah pihak.

Kesebelasan utama Kelantan United pada aksi pramusim menentang Kedah Darul Aman.

“Antara kandungan perjanjian termasuklah menghantar jurulatih untuk pasukan senior, pertukaran pemain, dan menyokong kem latihan.” 

“Di samping itu, di peringkat akademi dan akar umbi pula, mereka akan mengadakan latihan dengan penyertaan pemain remaja, latihan bagi jurulatih akar umbi serta menyertai kejohanan remaja di Jepun.” 

“Selain itu, mereka juga akan menjalinkan usahasama di dalam bidang perniagaan dan perkongsian maklumat, termasuk jualan penaja.” tulis kenyataan kelab.

Difahamkan kerjasama ini menjadikan Kelantan United menyertai perikatan yang turut diusahakan oleh Shonan Bellmare iaitu Perikatan Bola Sepak Asia Bellmare atau dikenali sebagai BAFA.

Ketika ini perikatan ini telah disertai oleh Boeung Ket FC (Kemboja), Wuhan Three Towns FC (China), Sudeva Delhi FC (India), FC Chanthabouly (Laos), Davao Aguilas FC (Filipina) dan Nongbua Pitchaya FC (Thailand).

Perikatan ini ditubuhkan oleh Shonan sebagai salah satu usaha pembangunan kelab-kelab di rantau asia sambil mendapat manfaat daripada segi bidang kejurulatihan, pertukaran pemain dan perkongsian pelbagai maklumat dalam kalangan ahlinya.

Komen