Piala AFC 2022: Kuala Lumpur Dipilih Hos Kumpulan H, Kedah Beraksi di Indonesia
February 24, 2022 Hafizuddin Omar

Juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City) mendapat sedikit keistimewaan apabila dapat mengharungi kejohanan peringkat asia, Piala AFC yang disertainya buat kali pertama, di halaman sendiri.

Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan Kuala Lumpur, Malaysia telah dipilih sebagai hos untuk venue berpusat bagi Kumpulan H.

Untuk makluman semua, Kumpulan H disertai oleh KL City bersama-sama PSM Makassar (Indonesia) dan Tampines Rovers (Singapura) sambil menantikan sebuah lagi pasukan samada Shan United atau Ayeyawady United (Myanmar) untuk melengkapkan kumpulan ini.

Sementara itu, satu lagi wakil negara merangkap naib juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman FC (Kedah) pula terpaksa terbang ke Indonesia untuk beraksi dalam kejohanan ini. 

Ini kerana AFC memilih Denpasar, Bali, Indonesia sebagai venue berpusat bagi Kumpulan G yang melibatkan Kedah, Bali United dan Kaya FC-Iloilo. Sebuah lagi pasukan yang akan melengkapkan kumpulan ini adalah pemenang play-off antara Visakha FC (Kemboja) dan Young Elephants (Laos).

Untuk makluman semua, saingan peringkat kumpulan bagi rantau ASEAN, Asia Tengah dan Asia Timur adalah 24 hingga 30 Jun.

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen