Syarikat pengeposan negara, Pos Malaysia mengumumkan kerjasama dengan pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) selama dua tahun, pada hari ini.
Menerusi perjanjian kerjasama ini, Pos Malaysia diangkat menjadi Rakan Logistik Rasmi bagi MFL yang merangkumi saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih), Liga Super dan Piala Malaysia.
“Mewakili Presiden MFL Dato’ Ab Ghani Hassan, Lembaga Pengarah, dan komuniti bolasepak, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Pos Malaysia ke Liga Malaysia 2022 dan 2023 dan sudah pasti MFL menyambut baik ketibaan mereka dalam merancakkan lagi saingan Liga Malaysia yang bakal bermula 4 Mac 2022.”
Baca: Pos Malaysia Terus Catat Kerugian – Sekitar RM335.73 Juta
“Ikatan MFL dan Pos Malaysia sebenarnya sudah terjalin di mana kedua-dua pihak bekerjasama dalam mengeluarkan setem edisi khas sempena 100 Tahun Piala Malaysia pada Disember tahun lalu dan sudah pasti penajaan ini akan membawa satu lagi kerjasama lebih dinamik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam.
Dimaklumkan, menerusi jalinan kerjasama ini juga, Pos Malaysia akan menguruskan logistik bagi peralatan bola sepak dan barangan lain dengan berat melebihi 100 tan ke seluruh Malaysia.