FAM Dengar Keluhan Penyokong, Baki 3 Sirkit MPFL Disiarkan Di TV9
February 25, 2022 Hafizuddin Omar

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail memaklumkan pihaknya mendengar keluhan penyokong dan peminat yang mahukan saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2022 dapat ditonton di televisyen.

Justeru, menerusi siaran media oleh badan induk bola sepak negara itu semalam, satu kerjasama antara FAM dan dengan stesen televisyen tempatan, TV9 dimeterai sekaligus membolehkan baki tiga sirkit perlawanan MPFL musim ini disiarkan di saluran televisyen tersebut.

Dimaklumkan, TV9 akan menyiarkan perlawanan terpilih MPFL di televisyen secara tertunda bermula Sirkit 7 yang akan berlangsung pada minggu ini. 

Antara perlawanan yang dijadualkan akan disiarkan oleh TV9 secara tertunda ialah Selangor TOT menentang Pulau Pinang (6 petang, 25 Februari), TRW Kelantan menentang Pahang Rangers (10:40 malam, 26 Februari) dan KPT-PST Mustangs menentang Shah Alam City (6 petang, 27 Februari).

Bagaimanapun, para penyokong dan peminat futsal tempatan boleh menonton ketiga-tiga perlawanan ini secara langsung menerusi penstriman langsung (live streaming) menerusi saluran Youtube TV9 Malaysia Official.

Rosmadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM sedar kerjasama ini hadir ketika saingan MPFL 2022 sudah di pertengahan jalan. 

Namun begitu, dia mengharapkan pihaknya dapat melakukan kerjasama yang lebih baik bersama TV9  pada musim 2023 kelak demi memajukan lagi industri futsal di Malaysia.

Komen