Artikel

Schalke 04 Buang Logo Penaja Utama, GAZPROM Ekoran Konflik Rusia-Ukraine

Kelab bola sepak berpangkalan di Jerman, Schalke 04 membuat keputusan untuk membuang logo syarikat tenaga milik negara Rusia, Gazprom yang tertera di hadapan jersinya ekoran konflik Rusia-Ukraine.

Keputusan kelab yang beraksi dalam kancah Bundesliga 2 ini dimaklumkan menerusi pelbagai platform media sosialnya sejurus pengumuman ‘operasi tentera’ oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin di Ukraine, semalam.

“FC Schalke 04 memutuskan untuk membuang logo penaja utama GAZPROM daripada jersi. Keputusan ini dibuat selepas perbincangan dengan GAZPROM Jerman. Sebaliknya, ia akan digantikan dengan perkataan ‘Schalke 04’.” tulis kenyataan kelab.

Baca: Konflik Rusia-Ukraine, Cetus Lonjakan 5% Harga Minyak Dunia

Bagaimanapun, Schalke 04 tidak menyatakan samada tindakan ini akan menjejaskan atau memberikan impak yang besar terhadap keadaan kewangannya.

Untuk makluman semua, kelab yang mendapat julukan Die Königsblauen (The Royal Blues) ini mendapat tajaan daripada Gazprom sekitar 15 tahun sejak tahun 2007.

Sebagai tambahan, selain daripada Schalke 04, Gazprom turut menaja kelab-kelab eropah lain seperti FC Zenit atau Zenit St. Petersburg (Rusia) dan Red Star Belgrade (Serbia).

Selain itu, Gazprom turut menaja saingan bola sepak eropah, Liga Juara-Juara UEFA, Piala Super UEFA dan UEFA National Team Football.

Featured Image: FC Schalke 04

komen