Badan induk bola sepak benua asia, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan dua perubahan besar terhadap saingan bola sepak anjurannya serta polisi melibatkan pemain asing atau import di dalam pasukan.
Menerusi satu kenyataan rasmi pada hari ini, AFC memaklumkan kalendar saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala AFC akan dimainkan bermula musim luruh (sekitar September) dan tamat pada musim bunga (sekitar Mei) persis yang diamalkan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Difahamkan, AFC melakukan perubahan ini supaya kelab-kelab di benua asia mendapat manfaat dan meningkatkan peluang untuk menandatangani pemain dan jurulatih yang berkualiti hasil daripada tempoh jendela perpindahan yang sama dengan yang diamalkan di benua eropah.
Untuk makluman semua, perubahan terhadap kedua-dua kejohanan peringkat benua asia ini akan bermula pada musim 2023-24 kelak.
Dalam kenyataan yang sama, AFC turut memaklumkan perubahan terhadap polisi melibatkan kuota pemain asing atau import untuk sesebuah pasukan. Bermula musim 2023-24 kelak, kuota pemain import untuk beraksi di kejohanan anjuran AFC ditingkatkan menjadi 5+1 (lima pemain warganegara bebas dan seorang pemain benua asia).
Sebelum ini, AFC mengguna pakai polisi kuota 3+1 dimana tiga pemain adalah berwarganegara bebas sementara seorang lagi adalah dari benua asia.
Sementara itu, setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan sebanyak 35 pemain berbanding 30 bermula saingan musim ini.