Jason Kenny Seteru Basikal Trek ‘The Pocket Rocketman’ Umum Persaraan
February 25, 2022 Hafizuddin Omar

Jaguh berbasikal trek Great Britain, Jason Kenny yang merupakan seteru rapat kepada pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang mengumumkan persaraannya, semalam.

Menerusi satu makluman laman sesawang rasmi Team GB, pelumba berusia 33 tahun itu mengumumkan menggantung basikalnya dan beralih kepada karier kejurulatihan dengan mengambil peranan selaku jurulatih acara pecut bagi pasukan berbasikal Great Britain.

Jason merupakan nama besar dalam arena basikal trek. Dia cukup dikenali dengan pencapaian memenangi tujuh pingat emas daripada empat temasya Sukan Olimpik yang disertainya. Selain itu, Jason turut mempunyai koleksi dua pingat perak daripada temasya itu.

Pingat emas terakhir dimenanginya adalah di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin lelaki. Perlumbaan tersebut turut menyaksikan jaguh negara, Azizulhasni menamatkan saingan di tempat kedua sekaligus memenangi pingat perak.

Sebagai tambahan, Jason juga mempunyai koleksi pingat emas di Kejuaraan Berbasikal Dunia dimana dia memenanginya pada tahun 2011, 2013 dan 2016 selain meraih 10 pingat pelbagai kilauan secara keseluruhan.

Dimaklumkan, Jason mempunyai hasrat untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 namun peluang tawaran untuk melatih pasukan negaranya adalah sesuatu yang tidak dapat ditolaknya.

Featured Image: Team GB

Komen