Penghujung Januari lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain beregu wanita yang berusia 27 tahun, Lee Meng Yean meninggalkan skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, BAM menerusi satu makluman rasmi mengumumkan mendapatkan semula khidmat kapten skuad Piala Uber 2020 ini sebagai jurulatih bagi jabatan beregu wanita, pada hari ini.
“Bekas pemain badminton kebangsaan ini akan menguatkan jabatan kejurulatihan disamping Hoon Thien How.” tulis kenyataan BAM.
Untuk makluman semua, Meng Yean pernah menjadi kelompok 10 pemain terbaik dunia semasa membentuk gandingan bersama Chow Mei Kuan suatu masa dahulu. Selain itu, dia turut mempunyai pengalaman beraksi di pentas temasya Sukan Olimpik.
Antara kejuaraan yang pernah dirangkulnya adalah Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2019 dan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2016. Selain itu, Meng Yean turut mengutip enam pingat perak di peringkat senior.
Dalam pengumuman yang sama, BAM turut mengumumkan perlantikan bekas ahli perubatan senior Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Tim Jones sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia