MFL Dapat Tajaan Ubat Sakit Kepala, Uphamol Sehingga Tahun 2023
February 25, 2022 Hafizuddin Omar

Jenama ubat sakit kepala atau paracetamol, Uphamol diumumkan menjadi Rakan Rasmi Analgesik bagi pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) selama dua tahun.

Perkara tersebut diumumkan selepas syarikat disebalik jenama Uphamol iaitu Duopharma Biotech menandatangani perjanjian penajaan bersama MFL yang berlangsung bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023, pada hari ini.

Baca: Paracetamol Kini Alami Kekurangan Bekalan – Di Farmasi, Kedai Serbaneka

Dimaklumkan, penajaan oleh syarikat ini merangkumi saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih), Liga Super dan Piala Malaysia sepanjang tempoh tersebut.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar melihat penajaan ini merupakan satu peluang untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai Uphamol sebagai jenama paracetamol buat tempatan yang diperakukan halal dan dipercayai oleh ramai pengguna Malaysia.

Selain itu, hasil daripada penajaan ini, Duopharma Biotech memperoleh peluang untuk melakukan penjenamaan bersama (co-branding) MFL bagi cenderamata dan sebarang promosi, menganjurkan sebaran acara yang melibatkan pemain-pemain dan pengaktifan jenama di venue perlawanan bola sepak.

Pada masa yang sama, jenama minuman isotonik milik Duopharma Biotech iaitu Proviton STR pula diangkat sebagai Rakan Rasmi Isotonik yang turut merangkumi perjanjian penajaan bagi tiga saingan yang sama dalam tempoh masa yang sama.

Komen